Yusmizal Dolah Aling
TEACH For Malaysia menjadi rakan kongsi terbaru Yayasan YTL dalam usaha memastikan semua pelajar di Malaysia dapat belajar dari rumah di sepanjang tempoh penutupan sekolah akibat Covid-19.
Ia susulan pelancaran Inisiatif Belajar Dari Rumah oleh Yayasan YTL dengan kerjasama YTL Communications dan FrogAsia, 25 Mac lalu, yang membolehkan pembelajaran secara dalam talian dari rumah dengan menggunakan rangkaian YES YTL Communications dan kandungan serta platform digital FrogAsia.
Pengerusi Tech For Malaysia Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz berkata, inisiatif membawakan pembelajaran dalam talian kepada golongan masyarakat yang kurang berkemampuan ini selari dengan misi dan nilai teras Teach For Malaysia selain daripada memastikan sesi pengajaran di sekolah di mana felow mereka ditempatkan dapat diteruskan.
Katanya, pihaknya menggalakkan orang ramai untuk mengakses sumber pembelajaran dalam talian seperti aplikasi FrogPlay Mobile bagi memastikan semua orang dapat terus belajar di sepanjang tempoh yang sangat mencabar ini.
“Oleh itu, bagi pihak Lembaga Pemegang Amanah, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yayasan YTL dan FrogAsia kerana memberi peluang kepada kami untuk membangunkan kandungan yang boleh diakses oleh semua menerusi platform mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Untuk tujuan ini, felow dan alumni Teach For Malaysia secara sukarela akan meluangkan masa mereka untuk berganding bahu dengan FrogAsia bagi menghasilkan modul pembelajaran dalam talian yang berinovasi dan menarik merangkumi mata pelajaran Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris untuk tahun satu hingga tingkatan lima.
Mereka akan menggunakan pengalaman mengajar di sekolah kerajaan berkeperluan tinggi di seluruh negara bagi membentuk kandungan yang mudah diikuti serta dapat menarik minat pelajar tanpa mengira tahap penguasaan mereka dalam subjek berkenaan.
Ia dilaksanakan bersama rakan pembangun kandungan iaitu Pelangi yang menyusun kuiz di dalam FrogPlay Mobile dan turut menyediakan kandungan untuk mata pelajaran FrogAsia demi memastikan tiada pelajar yang ketinggalan.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Teach For Malaysia Dzameer Dzulkifli berkata, Felow Teach For Malaysia dipilih dari kalangan graduan dan profesional muda paling berbakat di negara ini.
Katanya, sejak program ini dimulakan pada 2012, 450 Felow Teach For Malaysia sudah mencurahkan bakti kepada 130,000 pelajar di sekolah berkeperluan tinggi di seluruh negara yang majoritinya terdiri dari kalangan keluarga B40.
Subjek Teach For Malaysia-FrogAsia boleh didapati di https://ytlfoundation.azurewebsites.net/learn dan boleh dimuat turun secara percuma.
Source: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/03/560871/belajar-menerusi-sistem-dalam-talian