Oleh Mahani Ishak
KUALA LUMPUR: Syarikat pemaju di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur digalakkan menjadikan perumahan awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebagai projek angkat dalam usaha mengukuhkan semangat komuniti dan tanggungjawab bersama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah B40.
Program tanggungjawab sosial korporat itu bukan hanya diharapkan memupuk kelestarian tetapi pada masa sama, mengatasi putaran kemiskinan yang mengongkong pembangunan masyarakat B40 kekal daripada satu generasi ke generasi lain.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata dengan adanya program kemakmuran bersama yang dicetuskan syarikat pemaju ia akan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
“Ini secara tidak langsung akan memberi peluang kepada anak kecil mengikuti pembelajaran dan ibu bapa dapat melihat potensi anak mereka menerusi pelbagai program kekitaan di samping menggalakkan libat urus korporat dengan komuniti.
“Manfaat jangka panjangnya akan menggalakkan penduduk pelbagai peringkat umur dapat bersama dalam usaha itu seperti mengikuti program keceriaan, pendidikan awal, mengatasi kemurungan masyarakat serta memastikan komuniti dapat bersama, menikmati kehidupan aman damai, bersih dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program ‘Kempen Kita’ yang dijayakan Sentul Raya Sdn Bhd dan YTL Foundation dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Perumahan Awam Seri Perak, dekat Sentul, di sini.
Yang turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, Ketua Polis Kuala Lumpur,Datuk Seri Mazlan Lazim, Ahli Parlimen Kawasan Batu, M Prabakaran, Pengarah Urusan YTL Cement Sdn Bhd, Datuk Seri Michael Yeoh dan Pengarah Eksekutif Sentul Raya Sdn Bhd, Datuk Hamidah Makhtar dan Pengarah Program, YTL Foundation, Datin Kathleen Chew Wai Lin.
Menerusi ‘Kempen Kita’ yang bernilai RM800,000 itu kira-kira 7,000 penduduk perumahan itu bakal menikmati manfaat antaranya program berkaitan kesihatan dan pemakanan, yang bertujuan berkongsi maklumat penting bagi mengetengahkan serta menggalak gaya hidup dan kehidupan yang sihat.
Program itu mengambil pendekatan pelbagai dimensi sejajar laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang mendapati kanak-kanak miskin bandar di perumahan kos rendah mengalami kekurangan nutrisi.
Sementara itu, Wai Lin, berkata kerjasama di antara DBKL, SRSB dan YTL Foundation, bukan sesuatu yang baharu kerana sudah bermula sejak 2008 menerusi program Bintang Cemerlang yang memperkasakan pendidikan awal holistik melalui pendidikan luar bilik darjah.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/02/655923/galak-syarikat-pemaju-jadikan-pa-ppr-projek-angkat