FrogAsia dan Felow Teach For Malaysia Membangunkan Kandungan Dalam Talian untuk Pelajar Malaysia
KUALA LUMPUR, 31 Mac 2020 - Teach For Malaysia, yang mana para felownya berpengalaman mengajar di sekolah kerajaan berkeperluan tinggi di seluruh negara sejak 2012, menjadi rakan kongsi terbaru yang menyertai Yayasan YTL di dalam usahanya untuk memastikan semua pelajar di Malaysia dapat terus belajar dari rumah di sepanjang tempoh penutupan sekolah akibat Covid-19.
Pada 25 Mac 2020, Yayasan YTL dengan kerjasama YTL Communications dan FrogAsia telah melancarkan Inisiatif Belajar Dari Rumah bagi membolehkan pembelajaran secara dalam talian dari rumah dengan menggunakan rangkaian YES YTL Communications dan kandungan serta platform digital FrogAsia. Di bawah inisiatif ini, ibu bapa boleh mendaftar bagi mendapatkan kad SIM YES 4G percuma dengan 40GB data dan akses kepada sumber pembelajaran serta Aplikasi FrogPlay Mobile yang menawarkan lebih daripada 5,000 kuiz ulang kaji secara percuma.
Sejak inisiatif tersebut dilancarkan, Yayasan YTL telah menerima maklum balas yang memberangsangkan, dengan majoriti mereka yang berdaftar datangnya daripada golongan berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan separuh bandar dan luar bandar. Dengan adanya data percuma, keluarga-keluarga ini boleh mengakses sumber-sumber bagi membantu anak-anak mereka belajar dari rumah.
Felow dan Alumni Teach For Malaysia secara sukarela akan meluangkan masa mereka untuk berganding bahu dengan FrogAsia bagi menghasilkan modul pembelajaran dalam talian yang berinovasi dan menarik merangkumi mata pelajaran Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris untuk Darjah Satu hingga Tingkatan Lima. Felow dan Alumni yang terlibat, masing-masing akan menggunakan pengalaman mengajar yang tidak ternilai di sekolah kerajaan berkeperluan tinggi di seluruh negara bagi membentuk kandungan yang mudah dikuti serta dapat menarik minat para pelajar, tanpa mengira tahap penguasaan mereka dalam subjek berkenaan. Ia dilaksanakan demi mencapai matlamat inisiatif ini iaitu untuk memastikan tiada anak-anak yang ketinggalan dalam pendidikan mereka.
Mata pelajaran berkenaan dibangunkan secara khusus agar meliputi bahagian kurikulum sekolah kebangsaan yang tidak dapat diikuti oleh para pelajar akibat penutupan sekolah-sekolah dalam tempoh beberapa minggu ini. Mata pelajaran tersebut akan dimasukkan ke dalam bank mata pelajaran Bahasa Inggeris yang telah pun diterbitkan oleh FrogAsia pada minggu ini. Satu lagi rakan pembangun kandungan iaitu Pelangi, telah menyusun kuiz-kuiz di dalam FrogPlay Mobile dan turut menyediakan kandungan untuk mata pelajaran FrogAsia.
Pengerusi Teach For Malaysia, YAM Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz berkata, “Inisiatif membawakan pembelajaran dalam talian kepada golongan masyarakat yang kurang berkemampuan ini selari dengan misi dan nilai teras Teach For Malaysia, selain daripada memastikan sesi pengajaran di sekolah di mana Felow kami ditempatkan dapat diteruskan. Oleh itu, bagi pihak Lembaga Pemegang Amanah, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yayasan YTL dan FrogAsia kerana memberi peluang kepada kami untuk membangunkan kandungan yang boleh diakses oleh semua, menerusi platform mereka. Kepada para ibu bapa dan pelajar, saya ingin menggalakkan anda untuk mengakses sumber pembelajaran dalam talian seperti aplikasi FrogPlay Mobile bagi memastikan semua orang dapat terus belajar, di sepanjang tempoh yang sangat mencabar ini.”
Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Teach For Malaysia, Dzameer Dzulkifli ketika menjelaskan lebih lanjut tentang peranan pertubuhan berkenaan menambah, “Felow Teach For Malaysia dipilih dari kalangan graduan dan profesional muda paling berbakat di negara ini. Sejak program Felow ini dimulakan pada 2012, 450 Felow Teach For Malaysia telah mencurahkan bakti mereka kepada 130,000 pelajar di sekolah-sekolah berkeperluan tinggi di seluruh negara, yang majoritinya terdiri dari kalangan keluarga kumpulan pendapatan bawah 40% (B40).”
Yayasan YTL akan sentiasa aktif mencari rakan kongsi dan kolaborator baru bagi menjadikan pembelajaran dari rumah sebagai satu pengalaman yang memberangsangkan dan menyeronokkan buat para pelajar kita, mendorong mereka agar sentiasa tekun belajar dari rumah.
Mata pelajaran Teach For Malaysia-FrogAsia boleh didapati di https://ytlfoundation.org/learn. Mata pelajaran ini bersama-sama dengan aplikasi FrogPlay Mobile boleh dimuat turun secara percuma tanpa mengira sama ada ibu-bapa telah mendaftar untuk mendapatkan SIM YES 4G. Apa yang diperlukan ialah sambungan Internet dan sebuah telefon pintar atau peranti mudah alih. Sila kunjungi www.ytlfoundation.org/learn untuk mendaftar FrogPlay Mobile dan memohon kad SIM prabayar YES 4G. Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai inisiatif ini, ikuti kami di https://www.facebook.com/ytlfoundation atau @ytlfoundation di Instagram dan Twitter.