“Ada pihak mendakwa segelintir graduan memilih profesion guru sebagai pilihan kedua selepas gagal mendapat pekerjaan lain, kesannya golongan ini dedikasi dalam menjalankan tugas. Bagaimanapun saya optimis insan bergelar pendidik mampu menggalas tugas murni ini dengan sempurna.
“Mereka perlukan pengiktirafan, penghargaan, bimbingan serta latihan berterusan serta imbuhan saksama dengan tanggungjawab yang dipikul,” katanya.
Berkongsi pengalaman lalu, Sherina yang berasal dari Ipoh Perak, berkata kemiskinan keluarga bukan halangan seorang murid untuk mencapai kecemerlangan akademik.
“Dulu saya kurus, pakaian tidak kemas, seorang guru Datin Azizah (ibu pelakon Jit Murad) memanggil dan mempelawa ke rumahnya untuk bimbingan tambahan.
“Ketika itulah saya berpeluang menikmati sajian makan tengah hari paling lazat dan disajikan dengan minum petang setiap minggu mengikuti kelas tambahan di rumah beliau,” kata anak sulung daripada lima adik beradik yang terpaksa tinggal dalam sebuah bilik tujuh sekeluarga.
Sherina menerima bantuan bulanan RM70 daripada Kelab Rotary ketika itu, berkata lahir dalam sebuah keluarga berbangsa Tionghua tidak menghalang beliau bersama keluarga Melayu semata-mata untuk mendapatkan ilmu.
“Saya bersyukur kerana ibu bapa begitu mementingkan pelajaran walaupun mereka tidak belajar tinggi, bagi membolehkan kami meneruskan kelangsungan hidup dan keluar daripada kemiskinan,” katanya.