20,000 telefon pintar percuma mula diagih

PARIT – Sebanyak 20,000 telefon pintar percuma yang disediakan kerajaan negeri akan mula diagih kepada kumpulan keluarga B40 di Perak hari ini (Khamis).

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pelaksanaan di bawah Insentif Tuisyen Cikgu Saarani itu adalah kolaboratif bersama Yayasan YTL bagi mengupayakan pendidikan murid dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.

Menurutnya, inisiatif itu bukan sahaja melibatkan pemberian 20,000 unit telefon pintar tetapi bersama sim kad yang dilengkapi pelan data sebanyak 10GB setiap bulan secara percuma bagi tempoh satu tahun.

“Dulu ketika ‘lock down’, sekolah ditutup dan kita bergantung sepenuhnya kepada alat peranti ini sebagai alat bantu mengajar. Kini walaupun sekolah telah dibuka, tidak bermakna kemudahan ini tidak lagi diperlukan.

“Mereka masih boleh gunakannya sebagai ganti buku untuk mengulang kaji pelajaran dan melakukan latih tubi di rumah kerana di dalam sim kad ini sudah terkandung silibus serta soalan-soalan latihan yang merupakan sebahagian daripada program tuisyen kita,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis Pelancaran Penyerahan Telefon Pintar di Dewan Dato Ahmad Hambal, Bota di sini sempena Program Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) di Daerah Perak Tengah.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud serta Pengarah Eksekutif YTL Corporation Berhad, Syed Abdullah Alhadad.

Saarani berkata, di bawah inisiatif sama, sebanyak 50,000 sim kad dilengkapi dengan pelan data 40GB bagi tempoh 60 hari akan diberikan kepada 50,000 lagi pelajar terpilih di seluruh daerah menjadikan keseluruhan 70,000 pelajar menerima manfaat berkenaan.

Katanya, pelaksanaan program itu dijalankan secara berperingkat dengan keutamaan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang akan menduduki peperiksaan awam sebagai sokongan terhadap pembelajaran interaktif secara dalam talian.

“Senarai semua penerima disediakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) merujuk kepada data terkini pelajar di seluruh negeri. Hasrat kita kemudahan ini dapat diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.

“Insya-ALLAH, selepas ini akan ada lagi inisiatif lain dengan kerjasama badan-badan korporat lain kerana matlamat kita nak jadikan pendidikan di Perak ini sebahagian daripada usaha membasmi kemiskinan,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Abdullah berkata, Perak menjadi negeri pertama yang menggerakkan usaha seumpama itu bersama YTL.

Katanya, setakat ini, Yayasan YTL telah mengagihkan hampir 100,000 unit telefon pintar secara percuma kepada pelajar di seluruh negara.

“Sebelum ini kebanyakan permohonan dibuat secara persendirian, jadi kita ada kekangan dari segi kesahihan status dan sebagainya.

“Usaha digerakkan kerajaan negeri Perak ini jauh lebih baik dan memudahkan kita menyampaikan bantuan yang mana ia juga sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yayasan,” katanya.

 

Source: https://www.sinarharian.com.my/article/131419/EDISI/20000-telefon-pintar-percuma-mula-diagih?fbclid=IwAR31eS7bTn0W9IFMezy4MCYoKUSSYld-7M4YM3RhQRRzpXdwJWAzGzPZZTk