Reach out to us!

Membolehkan Pembelajaran Dari Rumah Untuk Semua Pelajar Sekolah Kerajaan

Menawarkan Sumber Pembelajaran Dalam Talian serta Data Mudah Alih Percuma menerusi Kerjasama di antara Yayasan YTL, YTL Communications dan FrogAsia

KUALA LUMPUR, 25 Mac 2020 – Ekoran penutupan institusi pendidikan di seluruh negara untuk beberapa minggu ini, para pendidik, ibu bapa dan pelajar masing-masing tercari-cari penyelesaian bagi membolehkan pengajaran dan pembelajaran diteruskan dalam situasi yang tidak menentu ini di mana segala rutin kehidupan seharian turut terjejas. Universiti serta sekolah swasta yang mempunyai sumber lengkap telah pun menyediakan kelas dalam talian, dan kemungkinan besar peperiksaan juga akan diadakan dalam talian jika situasi ini tidak bertambah baik.

Di luar institusi pengajian tinggi dan swasta, terdapat berjuta-juta ibu bapa pelajar sekolah kerajaan tertanya-tanya tentang status pendidikan anak-anak mereka ketika sekolah ditutup. Untuk mengetahui bagaimana ia boleh membantu ibu bapa serta pelajar berkenaan, Yayasan YTL telah menjalankan kaji selidik di kalangan ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah bagi mengetahui apakah kebimbangan utama mereka dalam tempoh yang sangat merunsingkan ini.

Kajian berkenaan mendapati bahawa 95% ibu bapa berkongsi kebimbangan utama iaitu bagaimana untuk memastikan pendidikan anak-anak mereka tidak terganggu ketika berada di rumah. 90% daripada mereka mempunyai sekurang-kurangnya satu peranti mudah alih di rumah dan sedia untuk membenarkan anak-anak mereka belajar di dalam talian. Walau bagaimanapun, lebih kurang 50% ibu bapa menyatakan kebimbangan tentang jumlah data yang diperlukan untuk mengakses sumber pembelajaran dalam talian dengan berkesan. Bagi mereka yang tergolong dalam kumpulan B40, keperluan untuk membeli data akan menjadi satu bebanan besar, terutama sekali dalam keadaan sekarang di mana sumber pendapatan mereka turut terjejas.

Sebagai sebuah syarikat yang telah menerajui penggunaan teknologi dalam pendidikan semenjak 2011, Kumpulan YTL yakin bahawa pembelajaran dalam talian boleh memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih memberangsangkan dan menarik kepada para pelajar. Dengan perkakasan yang ada pada hari ini, ibu bapa dan guru boleh meneruskan pembelajaran kanak-kanak di rumah di sepanjang tempoh ini. Setelah mendengar kebimbangan yang disuarakan oleh ibu bapa, Kumpulan YTL sedia melabur bagi menyediakan sumber dalam talian percuma serta data mudah alih percuma kepada semua pelajar sekolah kerajaan. Ini adalah untuk memastikan anak-anak Malaysia tidak ketinggalan akibat daripada penutupan sekolah dan boleh meneruskan pembelajaran di rumah tanpa bebanan kos tambahan ke atas keluarga mereka.

Bagi menjayakan hasrat ini, Yayasan YTL bekerjasama dengan YES dan FrogAsia bagi melancarkan Inisiatif Belajar Dari Rumah atau Learn From Home Initiative.

Mulai hari ini, semua pelajar boleh mengakses FrogPlay Mobile iaitu sebuah aplikasi mudah alih erbentuk permainan yang mengandungi pelbagai kuiz ulang kaji untuk semua mata pelajaran teras yang diajar di sekolah kebangsaan daripada Darjah Satu hingga Tingkatan Lima yang disusun khas oleh Pelangi, sebuah syarikat penerbitan buku pendidikan yang diyakini. Bagi menyediakan akses dalam talian, ibu bapa pelajar sekolah kerajaan boleh mendapatkan sehingga lima kad SIM prabayar 4G percuma daripada YES, satu untuk setiap anak yang masih belajar di dalam keluarga berkenaan. Setiap SIM didatangkan dengan pelan data 40GB yang sah untuk tempoh 60 hari selepas diaktifkan dan ia akan dihantar ke rumah secara percuma.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan YTL dan Pengerusi Yayasan YTL, Tan Sri Dr. Francis Yeoh berkata, “Yayasan YTL sentiasa berusaha membantu para pelajar dan sekolah demi menyediakan pendidikan yang lebih baik kepada semua. Dalam keadaan di mana negara kita sedang berdepan dengan krisis yang belum pernah dihadapi sebelum ini, demi menjamin keselamatan rakyat kita daripada pandemik Covid-19, kami mahu memastikan bahawa kanak-kanak dapat meneruskan pembelajaran mereka di rumah. Oleh itu, kami memberikan akses percuma untuk sumber pembelajaran dalam talian FrogAsia serta menyediakan data percuma melalui rangkaian mudah alih YES 4G. Harapan kami ialah semoga semua kanak-kanak di negara ini akan kekal selamat dan pada masa sama dapat meneruskan pembelajaran.”

Tambah beliau, “Dan sambil kita menjaga anak-anak kita di rumah, janganlah kita lupa akan jasa wirawira barisan hadapan perkhidmatan penting negara yang mempertaruhkan nyawa mereka di luar sana, agar kita semua dapat kekal selamat di rumah. Kami amat menghargai pengorbanan mereka dengan sepenuh hati kami. Semoga tuhan merahmati dan melindungi semua rakyat negara yang amat kita cintai ini.”

Sila kunjungi www.ytlfoundation.org/learn untuk mendaftar FrogPlay Mobile dan memohon kad SIM prabayar YES 4G. Terdapat juga sumber-sumber pelajaran tambahan lain boleh didapati di halaman Learn From Home dalam laman sesawang Yayasan YTL.

Copy to clipboard

Latest Articles

Sign Up for Our
Touchpoints Newsletter


Find out about how we are impacting our communities. Sign up here for our quarterly newsletter!
YTL Foundation was founded in 1997 on the belief that education is the basis on which every society progresses. By improving education, empowering future generations and building tomorrow’s leaders, YTL Foundation aims to empower individuals and communities to be catalysts of change.

More Information

Helpful Links

Terms & Policies

Menu

Get In Touch

ADDRESS
YTL Foundation
[199701006074 (421570-A)]
32nd, Menara YTL
205, Jalan Bukit Bintang,
55100 Kuala Lumpur, Malaysia.
Follow Us
Copyright © 2022 YTL Foundation [199701006074 (421570-A)]. All rights reserved
menu