Reach out to us!

Pelajar UTAR Bakal Menerima Manfaat Daripada Inisiatif Belajar Dari Rumah Yayasan YTL

Inisiatif Belajar Dari Rumah Diperluaskan Ke Lebih Banyak Lagi Institusi Pengajian Tinggi

Ahad, 03 Mei 2020: Pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (“UTAR”) adalah institusi pengajian tinggi yang terkini menerima manfaat daripada inisiatif Belajar Dari Rumah anjuran Yayasan YTL. Sama seperti pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi yang lain di negara ini, kesemua 23,000 pelajar dari kedua-dua kampusnya di Sungai Long dan Kampar terpaksa menghadiri kuliah dan menyiapkan tugasan secara dalam talian ketika berada di rumah.

Oleh itu, universiti berkenaan telah berhubung dengan Yayasan YTL untuk mendapatkan bantuan bagi memastikan pelajar-pelajar mereka dapat mengikuti sesi pembelajaran jarak jauh dalam talian di sepanjang tempoh penutupan universiti akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

Pengerusi Yayasan YTL, Tan Sri Dr Francis Yeoh Sock Ping berkata, “Kami sangat memahami tekanan yang dihadapi oleh para pelajar universiti berkenaan yang tidak lagi dibenarkan tinggal di kampus. Ketika ini, adalah penting untuk mereka mendapat akses kepada Internet berkelajuan tinggi bagi memastikan pengajian mereka dapat diteruskan dengan gangguan yang minimum. Walaupun UTAR adalah sebuah universiti swasta, yurannya adalah antara yang terendah di negara ini kerana universiti tersebut tidak mengutamakan keuntungan dan majoriti perbelanjaannya dibiayai oleh komuniti bagi memastikan bahawa kursus-kursus cemerlang yang ditawarkan dapat diakses oleh pelajar-pelajar dari kalangan keluarga berpendapatan rendah. Oleh itu, kami amat gembira kerana dapat memberikan kad SIM prabayar Yes 4G dengan 40GB data secara percuma kepada pelajar UTAR bagi membantu mereka menghadapi tempoh yang serba mencabar ini.”

Mulai hari ini hingga 31 Mei 2020, para pelajar UTAR boleh memohon untuk mendapatkan kad SIM prabayar Yes 4G secara percuma di www.ytlfoundation.org/utar. Setiap pelajar layak menerima satu kad SIM percuma sahaja. Kad SIM tersebut akan dihantar terus ke alamat pelajar-pelajar berkenaan.

Presiden UTAR, Ir Prof Dr Ewe Hong Tat berkata, “Semasa tempoh PKP ini, dimana sesi pengajaran telah beralih kepada pembelajaran dalam talian, medium hubungan paling penting di antara kakitangan dan para pelajar universiti adalah menerusi internet. Akses kepada internet serta kelajuan internet adalah penting bagi mewujudkan pengalaman pembelajaran dalam talian yang memberangsangkan dan membolehkan para pelajar mengakses segala sumber yang ada bagi menyempurnakan kerja kursus mereka.

UTAR sangat bersyukur kerana Yayasan YTL telah tampil dengan inisiatif Belajar Dari Rumah anjurannya bagi menghulurkan bantuan yang amat diperlukan oleh para pelajar melalui pemberian kad SIM prabayar Yes 4G dengan 40GB data secara percuma. Inisiatif ini akan memastikan pelajar-pelajar kami mendapat akses internet yang setara terutama sekali di kalangan mereka yang mempunyai akses internet terhad di rumah.”

Yayasan YTL turut mengumumkan bahawa kad SIM Yes 4G percuma ini juga akan diberikan kepada pelajar-pelajar dari Kolej Universiti New Era (“NEUC”).

Ibu bapa yang mempunyai anak-anak di sekolah kerajaan dan Sekolah Menengah Cina swasta serta pelajar-pelajar Universiti Sains Malaysia (“USM”) juga boleh mengunjungi www.ytlfoundation.org/learn untuk memohon kad SIM prabayar Yes 4G percuma dan mendaftar bagi mendapatkan aplikasi kuiz ulang kaji FrogPlay Mobile serta pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains untuk pelajar-pelajar Tahun 1 hingga Tingkatan 5. Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai inisiatif berkenaan, sila ikuti kami di https://www.facebook.com/ytlfoundation atau @ytlfoundation di dalam Instagram dan Twitter.

Copy to clipboard

Latest Articles

Sign Up for Our
Touchpoints Newsletter


Find out about how we are impacting our communities. Sign up here for our quarterly newsletter!
YTL Foundation was founded in 1997 on the belief that education is the basis on which every society progresses. By improving education, empowering future generations and building tomorrow’s leaders, YTL Foundation aims to empower individuals and communities to be catalysts of change.

More Information

Helpful Links

Terms & Policies

Menu

Get In Touch

ADDRESS
YTL Foundation
[199701006074 (421570-A)]
32nd, Menara YTL
205, Jalan Bukit Bintang,
55100 Kuala Lumpur, Malaysia.
Follow Us
Copyright © 2022 YTL Foundation [199701006074 (421570-A)]. All rights reserved
menu