Pendidikan masa depan

By Nor Hanisah Kamaruzaman - 3 April 2017

Pelbagai inisiatif diambil bagi mengetengahkan kaedah dan suasana pembelajaran abad ke-21 selari dengan kepesatan dan kecanggihan teknologi.

Hasil kerjasama YTL Group, Media Prima Berhad, New Straits Times, AUO SunPower dan Bank of Tokyo membuka peluang kepada YTL Foundation untuk membina 120 Bilik Bestari Frog di seluruh Malaysia.

Terbaru, pelajar dan guru dari SJKT Ladang Edinburgh dapat memanfaatkan kemudahan ruang pembelajaran unik itu yang baru dirasmikan pada Mac lalu.

Sekolah berkenaan menjadi sekolah Tamil pertama di Malaysia mempunyai Bilik Bestari Frog dirasmikan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk P Kamalanathan baru-baru ini.

YTL Foundation bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan bagi memberi peluang kepada pelajar dan guru meningkatkan kemahiran pembelajaran dan pengajaran abad ke-21.

SJKT Ladang Edinburgh yang terletak Taman Bukti Maluri, Kuala Lumpur itu adalah sebuah sekolah berprestasi tinggi.

Program Bilik Bestari Frog adalah inisiatif YTL Foundation bertujuan menaik taraf bilik darjah seluruh Malaysia kepada ruangan pembelajaran abad ke-21.

Kerusi dan meja di Bilik Bestari Frog direka khas dengan bentuk melengkung bagi membantu pelajar berkomunikasi antara satu sama lain dengan lebih efektif.

Pembelajaran di dalam Bilik Bestari Frog turut dijalankan menggunakan peranti Chromebook, projektor dan kaedah Frog Virtual Learning Enviroment (Frog VLE).

Pelajar SJKT Ladang Edinburgh boleh menggunakan bilik berkenaan sama ada pada waktu sekolah atau selepas tamat waktu sekolah.

Persekitaran yang selesa dan inovatif juga mampu mendorong pelajar meningkat dalam pembelajaran serta mengembangkan kemahiran teknologi mereka.

Guru Besar sekolah berkenaan Theresa Ayyakkannu berkata, pihaknya percaya pengubahsuaian Bilik Bestari Frog dapat menggalakkan pembelajaran holistik sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Kamalanathan berkata, bilik darjah seumpama itu dapat menjadi titik mula kepada sistem pendidikan Malaysia pada masa hadapan.

“Apa yang boleh dilihat hari ini adalah bagaimana Bilik Bestari Frog dapat dijadikan pemangkin ke arah pembelajaran abad ke-21.

“Kita dapat menyaksikan bagaimana kaedah pembelajaran bilik darjah yang disokong dengan penggunaan Frog VLE serta latihan melalui kuiz di Frog Play mampu menyelesaikan tugas dengan mudah.

“Dunia pembelajaran semakin berkembang pesat dan saya sangat teruja melihat bagaimana semua pihak bekerjasama dalam menjayakan kaedah pembelajaran abad ke-21,” katanya.

Menurut beliau, semua pihak berperanan dalam menjadikan usaha itu sebagai satu kenyataan dan berterima kasih kepada pelajar dan guru yang merealisasikan pengalaman belajar baru demi memenuhi kehendak pelajar berbeza.

Syarikat dan sekolah yang berminat dengan pengubahsuaian Bilik Bestari Frog boleh hubungi YTL Foundation di ytlfoundation@ytl.com.my atau layari laman web www.frogclassroom.com untuk maklumat lanjut.

Source: https://www.hmetro.com.my/node/218431